Kisah Pakcik..
..adapted from mawifc.com.. syukran XOIC
MINGGU lalu, baru saya nak seberang jalan ke Masjid Sultan
untuk sembahyang Jumaat, seorang pak cik dari jauh melemparkan senyum kepada
saya. Kerana masih ada banyak waktu, saya tak jadi seberang jalan dan tunggu
pak cik berjanggut dan bertongkat yang tidak saya kenali itu. Bila beliau
hampir pada saya, kami saling memberi salam dan saya menyuruh anak saya mencium
tangannya. Orangnya sudah agak berumur. Tiba-tiba, pak cik itu memulakan
perbualan. Beliau cakap dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang agak baik. Beliau
cakap semua ayat Quran baik dan penting, tapi ada tiga surah yang beliau
‘pegang’ betul-betul, dan beliau nasihatkan saya supaya pegang betul-betul
juga. Beliau juga nasihatkan saya supaya pesan pada anak-anak supaya pegangnya
betul-betul.
Pertama, kata beliau, surah Al-Fatihah. Selain penting untuk sah sembahyang, ia
juga ada doa minta bantuan Tuhan dan mintak tunjukkan jalan yang betul.
Mudah-mudahan dengan ‘menjaga’ bersungguh-sungguh surah Al-Fatihah, akan
terbuka pintu bantuan dan jalan yang betul untuk kita, kata pak cik.
Kedua, Surah Al-Ikhlas. Surah ini, katanya, surah tauhid. Kita mesti ingat
Tuhan itu Esa dan semua amalan mesti untuknya. Tak guna buat baik tapi tak
ikhlas.
Ketiga, surah Al-Kafirun, kata pak cik. Bahagian ini, menarik sikit. Pak cik
cakap surah Al-Kafirun ada kena mengena dengan zaman sekarang, zaman
globalisasi. Dalam zaman globalisasi, katanya, anak-anak saya mesti diajar
supaya pegang betul-betul surah itu. Sebab, dalam zaman globalisasi, anak saya
mungkin kena kerja atau belajar sampai ke Amerika atau ke mana-mana. Kalau dia
pegang pada surah Al-Kafirun, insya-Allah, dia akan selamat, kata pak cik. Dia
akan bergaul dengan orang beragama lain, tapi dia sedar ‘untukmu agamamu, untukku agamaku’. Betul juga, fikir saya. Kemudian, pak cik
cakap ada satu lagi perkara yang saya mesti pegang.
Orang Islam, katanya, mesti ada tiga kekuatan.
Pertama, kekuatan minda. Minda, kata pak cik, ialah ilmu.
Orang Islam mesti ada ilmu, termasuk ilmu moden, ilmu teknologi, ilmu teknologi
maklumat (IT) dan sebagainya kerana ilmu-ilmu itu perlu untuk hidup.
Kedua, kekuatan hati. Hati ialah iman, kata pak cik. Hati
orang Islam mesti kuat supaya betapa banyak sekali pun ilmunya, dia sedar siapa
yang lebih berkuasa. Bila ilmu ada iman, barulah ilmu dan hidup jadi betul.
Kalau minda kuat tapi hati tak kuat, maknanya kekuatan tak seimbang dan ilmu
boleh rosakkan iman, kata pak cik.
Ketiga, kekuatan fizikal. Pertama-pertama, kalau tubuh badan
lemah, susah ilmu nak masuk dalam minda, kata pak cik. Kalau pun ada ilmu dan
ada iman, jika tubuh badan tak kuat, susah nak beramal. Maknanya, kekuatan
masih tak seimbang, katanya. Habis saja pak cik cakap pasal tiga surah dan tiga
kekuatan, beliau minta diri.
Terima kasih kepada pak cik. Pesanannya memang
baik.